Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan merupakan salah satu di antara IADA baru yang ditubuhkan secara serentak dengan IADA Rompin, Batang Lupar dan Kota Belud dengan keluasan sebanyak 7,211 hektar. Jelapang padi IADA Pekan merangkumi 6 skim paya iaitu Pahang Tua (1,275 hektar), Ganchong (1,005 hektar), Pulau Jawa dan Pulau Tambun (209 hektar), Mambang (348 hektar), Serandu (240 hektar) dan Merchong (4,134 hektar).

Struktur pentadbiran IADA Pekan terdiri daripada skim-skim utama yang dipecahkan mengikut Kumpulan Pengguna Air (KPA) dan kemudian dibahagikan kepada blok-blok kecil yang terdiri daripada lot-lot padi. Musim penanaman padi jelapang ini adalah dua kali setahun dengan penglibatan seramai 2,891 orang petani yang kebanyakannya masih baru dalam aktiviti penanaman padi. Di samping itu, IADA Pekan juga telah mempunyai jadual pengairan yang sistematik hasil daripada penambahbaikan prasarana dan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan lagi purata pengeluaran hasil jelapang dengan sasaran purata hasil sebanyak 10 tan/hektar.