Sistem Maklumat Geospatial Padi, bertujuan untuk membantu Jabatan Pertanian Negeri melaksanakan pemantauan aktiviti penanaman padi di kawasan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA) dengan lebih cepat dan berkesan. Sistem ini menggunakan kelebihan teknologi Remote Sensing dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dalam menyediakan maklumat status aktiviti tanaman padi di lapangan yang dikeluarkan setiap dua (2) minggu sekali. Data yang digunakan dalam sistem ini ialah data satelit Radarsat yang berupaya mengumpul maklumat tanaman padi walaupun dalam keadaan cuaca diliputi awan dan hujan serta merangkumi kawasan yang luas. Komponen utama sistem ini ialah pangkalan data tanaman padi yang mengandungi maklumat peta bagi setiap lot padi seperti nombor lot, kelas (padi dan bukan padi), keluasan terkini, hasil dan maklumat pengusaha.